Ikut Sama,,,

Friday, September 6, 2013

Saidina Abu Bakar As-Siddiq : Sahabat yang membenarkan kata-kata Rasulullah

Nama sebenar beliau adalah Abdullah bin Uthman bin ‘Amir bin Ka’ab At-Taimy Al-Qursy. Dulunya bernama Abdul Ka’bah, kemudian Rasulullah menggantinya dengan nama Abdullah. Adapun gelaran As-Siddiq yang diberikan kepadanya itu adalah kerana sikapnya yang selalu membenarkan apa sahaja kata-kata mahupun perbuatan nabi Muhammad s.a.w. Beliau lahir pada tahun 51 sebelum Hijriah (573 M) di Mekah.
Saidina Abu Bakar juga dikenali dengan gelaran Al-‘Atiq. Rasulullah pernah berkata; “Kamu adalah hamba Allah yang dijauhkan (‘Atiq) dari api neraka”.
Abu Bakar pernah menikahi Qutailah binti Abdul Uzza bin Abd bin As’ad pada masa jahiliyyah dan dari pernikahan tersebut lahirlah Abdullah dan Asma’.
Beliau juga menikah dengan Ummu Ruman binti Amir bin Uwaimir bin Zuhal bin Dahman dari Kinanah. Hasil pernikahan tersebut lahirlah Abdurrahman dan ‘Aisyah.
Beliau juga menikah dengan Asma’ binti Umais dan sebelumnya Asma’ adalah isteri Ja’far bin Abi Thalib. Dari hasil pernikahannya ini, lahirlah Muhammad bin Abu Bakar.
Beliau juga menikah dengan Habibah binti Kharijah bin Zaid bin Zuhair dari Bani Al-Haris bin Al-Khazraj. Dari pernikahan tersebut lahirlah Ummu Khultsum.
Saidina Abu Bakar Al-Siddiq r.a. adalah seorang sahabat yang terkenal kerana keteguhan imannya, cerdas akal, tinggi akhlak, lemah lembut dan penyantun. Rasulullah s.a.w. pernah menyanjungi sahabatnya itu dengan bersabda, "Jika ditimbang iman Abu Bakar Al-Siddiq dengan iman sekelian ummat maka berat lagi iman Abu Bakar.
Beliau juga sangat pandai dalam ilmu nasab (salasiah keturunan) suku dan juga penceritaannya. Beliau termasuk dari ketua-ketua Quraisy di masa Jahiliyah yang disegani dan disenangi kerana sikapnya yang bijak.

Saidina Abu Bakar Al-Siddiq r.a. merupakan orang yang suka memerdekakan hamba. Antaranya Bilal bin Robah, ‘Amir bin Fahiroh, Zanirah, Nahdiyah dan lain-lain.
Beliau juga berperanan dalam mendakwah orang ramai untuk memeluk agama Islam. Antaranya ialah Az-Zubair bin Al-Awwan, Uthman bin Affan, Abdurrahman bin ‘Auf, Saad bin Abu Waqos, Tholhah bin Ubaidillah, Abu ‘Ubaidah bin Jarrah. Mereka semua ini termasuk 10 orang yang dijamin masuk surga.

Apa kata Rasulullah mengenai peribadinya: “Tidak seorangpun diantara manusia yang lebih banyak dari Abu Bakar dalam menjaga diriku dengan jiwa dan hartanya. Sekiranya dibolehkan aku menjadikan teman baik diantara manusia nescaya saya jadikan Abu Bakar sebagai teman baik. Akan tetapi persaudaraan atas nama Islam itu lebih utama. Silakan kalian tutup setiap pintu untukku di masjid kecuali pintu Abu Bakar (HR.Bukhari).

Selepas Rasulullah wafat, beliau diangkat menjadi khalifah oleh kaum muslimin pada tahun 11H. Inilah sejarah peralihan kepimpinan umat Islam untuk pertama kali yang dibuat berdasarkan majlis syura (musyawarah). Pada waktu dipilih menjadi khalifah beliau berkata; “Aku diangkat menjadi pemimpin kalian tapi bukan bererti aku yang paling baik dari kalian. Sekiranya aku melakukan kebaikan maka kalian harus menolongku dan sekiranya aku berbuat salah maka kalian wajib meluruskan dan mengingatkan. Kejujuran adalah amanah dan berdusta adalah khianat dan pengingkaran terhadap yang benar. Orang-orang yang lemah diantara kalian, bagiku adalah orang kuat hingga aku memberikan haknya. Dan orang-orang yang kuat diantara kalian, bagiku adalah lemah hingga aku ambil hak-hak itu darinya.”

Sebelum wafatnya, beliau pernah berwasiat kepada Saidina Umar bin Al-Khatab untuk menjadi khalifah.

Wasiat Saidina Abu Bakar kepada Saidina Umar sebelum ajal menjemputnya sebagaimana diceritakan Abdurrahman bin Abdullah bin Sabith “Pada waktu ajal hendak menjemputnya, beliau memanggil Umar. Beliau berkata, “Wahai Umar, ingatlah bahawa ada amalan untuk Allah yang dilakukan siang hari yang Allah tidak akan menerima amalan itu di waktu malam. Dan ada amalan untuk Allah yang di malam hari yang tidak akan diterima di waktu siang. Allah tidak menerima amalan sunnah sehingga yang wajib dilaksanakan. Timbangan amal baik di akhirat menjadi berat kerana mengikuti jalan kebenaran di dunia hingga Allah beratkan timbangan atas mereka. Dan timbangan (baik) manusia berkurang di akhirat kerana manusia mengikuti jalan sesat/batil selama di dunia

Ketika beliau wafat, Ali bin Abi Talib berkata; “Semoga Allah memberikan rahmat kepada Abu Bakar, Kamu adalah saudara Rasulullah, kawan dekat, penghibur duka lara, dan kawan dalam bermusyawarah. Kamu adalah orang pertama yang masuk Islam, yang paling ikhlas beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, yang paling baik dalam persahabatan dan paling mulia diantara kaum lainnya. Kamu juga yang paling serupa dengan Rasulullah ketika diam dan gerak. Allah telah angkat darjat namamu, wahai Abu bakar dalam tingkatan yang paling tinggi. Allah berfirman: “ Dan orang yang percaya dengan kenabian Muhammad.

Dalam riwayat Asakir dari Al-Ashma’yang disebutkan bahawa Abu Bakar jika dipuji beliau akan berdoa “Ya Allah Engkau lebih tahu tentang diriku dan saya lebih tahu dari mereka. Ya Allah, berikan kebaikan padaku dari apa yang mereka sangkakan. Ampunilah aku dari apa yang mereka tidak tahu dan jangan azab aku dari apa yang mereka katakan.”
Abu Bakar As-Siddiq meninggal ketika berusia 63 tahun pada hari selasa, 634 M/ 13H iaitu dua tahun, tiga bulan dan tiga hari selepas menjadi khalifah. Beliau berwasiat agar jenazahnya dimandikan oleh Asma` binti Umais, isteri beliau. Saidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid An-Nabawi yang terletak di Madinah.
Begitulah sedikit lakaran kisah seorang sahabat yang sangat dikasihi oleh Nabi Muhammad s.a.w., iaitu Saidina Abu Bakar r.a. Semoga kita dapat mengambil hikmah dari perjalanan hidup beliau.

Sumber rujukan:
1. ‘Alamu As-Sahabat – Said Hawwa
2. Fiqh Sirah An-Nabawiyyah karangan Dr. Muhammad Said Ramadan Al-Buti
3. Fiqh Al-Harakah karangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
4. Mausu’ah ‘Alamu Al-Fikru Al-Islami – Dr. Mahmud Hamdi Zakzuk

Wednesday, September 4, 2013

ABDUL RAHMAN BIN ‘AUF : SAHABAT YANG DIJAMIN SYURGA

Sedikit perkongsian tentang kehebatan Sahabat Rasulullah SAW.

ABDUL RAHMAN BIN ‘AUF  
:  عبد الرحمن بن عوف‎
 
1. Dikhabarkan oleh Rasulullah SAW bahawa Abdul Rahman bin ‘Auf dari kalangan 10 orang Sahabat yang dijanjikan masuk syurga Allah SWT. (Imam Ibnu Kathir)

2. Merupakan diantara kalangan Sahabat yang awal memeluk Islam iaitu Saidina Abdul Rahman Bin Auf telah memeluk Islam sebelum Rasulullah SAW memasuki Darul Arqam lagi. (Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani)

3. Antara Sahabat yang hebat dalam perniagaan dan bijak merancang dalam urusan perniagaan di Pasar di Madinah. (Imam Ibnu Kathir)

4. Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf adalah seorang yang kaya lagi sentiasa bersyukur. (Imam Az-Zahbi)

5. Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf sendiri pernah menjadi imam solat kepada Rasululluh SAW. Ketika itu, Rasulullah SAW terlewat satu rakaat untuk menunaikan solat fardhu berjemaah lalu Rasulullah SAW menjadi ma’mum mengikut Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf sebagai imam solat.

6. Ramai sahabat yang telah memimpin perjuangan Islam dan menyebarkan syiar Islam yang berjuang sebagai panglima atau sebagai pahlawan Islam yang dikenal sejarah. Tetapi Abdul Rahman Bin Auf telah menunjukkan kepahlawanannya dengan menyerahkan seluruh kekayaannya dalam menegakkan Islam.

7. Salah seorang dari ahli jawatankuasa Ahlul Hilli Wal ‘Aqdi (Majlis Syura) dan bertanggungjawab dalam urusan pencalonan Khalifah selepas Amirul Mu’minin Khalifah Umar Al-Khatab. Beliau juga yang bertanggungjawab dalam pelantikan Saidina Uthman bin ‘Affan sebagai Khalifah seterusnya. (Imam Az-Zahabi)

8. Beliau juga menjadi tempat rujukan Amirul Mu’minin Khalifah Saidina Umar Al-Khatab apabila berlaku permasalahan yang berkaitan dengan negara Islam. Saidina Umar pernah menanyakan pendapatnya berkaitan keadaan negeri Syam yang sedang dijangkiti wabak penyakit Taun dan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini. Maka, Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf menjawab agar janganlah dimasuki negeri Syam tersebut kerana disebabkan wabak penyakit Taun berdasarkan hadis Rasulullah SAW, “Apabila kamu mendengar terdapat wabak di suatu daerah, maka janganlah kamu mendatanginya. Sebaliknya, kalaulah wabak itu berjangkit di suatu daerah sedangkan kamu berada di sana maka janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya.” (Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani)

9. Sesungguhnya pemikiran Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf adalah tersangat cerdas pemikirannya dalam mengendalikan urusan pemerintahan, politik dan ekonomi. Oleh itu, banyak permasalahan yang terlalu rumit untuk diselesaikan yang berkaitan dengan politik, pemerintahan, ekonomi dapat diselesaikan melalui idea dan pandangat Beliau.

**Perkongsian artikel yang ringkas ini dirujuk berdasarkan sumber asal : kitab “A’lamu As-Sohabah” karangan As-Syeikh Sa’id Hawwa
Related Posts with Thumbnails